PUSA: Penantian panjang penduduk Beladin dan Pusa berakhir apabila Jambatan Batang Saribas 1 yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu secara rasmi siap dan mula digunakan pada Ahad.
Ianya sekali gus menjadi jambatan kelima yang siap daripada keseluruhan 16 yang dirancang di sepanjang Jalan Pesisir Sarawak.
Majlis pra pelancaran jambatan sepanjang 1.55 kilometer yang dibina dengan kos RM375.5 juta ini disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut menyifatkan projek itu sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar.
“Jambatan ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan.
“Daripada 30 minit menggunakan feri kepada hanya beberapa minit, malah memberi impak besar kepada akses pendidikan, kesihatan dan ekonomi masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan jambatan tersebut pada Ahad.
Tambah beliau, Jambatan Batang Saribas 1 merupakan antara inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar, serta menyangkal dakwaan kononnya pembangunan jalan pesisir hanya janji kosong.
“Projek ini turut berperanan sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Pan Borneo, menghubungkan kampung-kampung, sekolah dan klinik di kawasan Pusa dan Beladin.
“Di samping itu, ia turut memberi peluang ekonomi baharu kepada penduduk menerusi tarikan produk tempatan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Datuk Amar Douglas turut menyeru agar para kontraktor yang dilantik meneruskan usaha menyiapkan baki jambatan pesisir mengikut jadual agar manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat Sarawak.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu @ Aman Begiri; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Prof.Ir.Ts.Gs.Br. PMr. Dr.Cassidy Morris serta Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.-EDISI UKAS