BINTULU: Masyarakat Dayak diseru agar meraikan perayaan Gawai Dayak dengan penuh kesyukuran dan secara sederhana tanpa membebankan diri dengan perbelanjaan berlebihan
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, hal ini demi kelangsungan kewangan keluarga selepas musim cuti perayaan.
“Saya faham meraikan perayaan Gawai adalah perkara yang menggembirakan semua orang yang meraikannya tetapi suka saya galakkan agar meraikan hari Gawai dengan bersederhana terutamanya kepada yang masih mempunyai anak-anak yang bersekolah dan di Universiti akan memerlukan perbelanjaan sekolah setelah kembali dari cuti Gawai kelak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pra Gawai Dayak Peringkat Bahagian Bintulu 2025 yang berlangsung meriah di Dinner World, Bintulu pada Sabtu.
Justeru, beliau menggalakkan agar menggunakan peluang perayaan ini untuk berjumpa dengan saudara mara dan kawan-kawan terutamanya yang tinggal di bandar.
Selepas Pra Gawai ini nanti ujarnya, ramai yang akan pulang ke kampung untuk merayakan Hari Gawai di rumah Panjang masing-masing menjelang perayaan Hari Gawai.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan betapa pentingnya perpaduan dan perancangan masa depan masyarakat Dayak, khususnya yang akan pulang ke rumah panjang masing-masing sempena Hari Gawai nanti.
“Bagi yang tinggal di bandar seperti di Bintulu ini, inilah masa untuk berjumpa saudara-mara. Saya galakkan agar semua, sama ada yang balik atau yang menetap di rumah panjang, bersama-sama merancang pembangunan komuniti masing-masing,” tambah beliau.
Majlis anjuran bersama oleh empat badan utama iaitu Sarawak Dayak Iban Association (SADIA), Orang Ulu National Association (OUNA), Dayak Bidayuh National Association (DBNA) dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) telah berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Dayak dalam suasana harmoni dan penuh warna-warni budaya.
Bagi menghargai usaha penganjur, Dato Sri John Sikie Tayai turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada jawatankuasa penganjur, disusuli oleh Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi yang turut menyumbang RM20,000.
Majlis turut dimeriahkan dengan Pekit Kumang sempena Pra Gawai Dayak 2025 yang menyaksikan Delfina Damun Kiran dinobatkan sebagai Kumang dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta mahkota, selempang, piala, bungai jari dan sijil penyertaan.
Manakala, tempat kedua dimenangi oleh Amyder Mikey Drake (Lulong) yang menerima RM2,500 diikuti tempat ketiga milik Zeona Deour Jacob (Selinggar Matahari) yang menerima RM2,000 bersama hadiah iringan masing-masing. -EDISI UKAS