Kejohanan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri 2025 Berakhir Meriah, Brunei Ungguli Keseluruhan

Posted on 25 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Majlis Penangguhan Kejohanan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Bandaraya Miri ke-13 (13th Miri City International Deep Sea Fishing Tournament) 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Jeti Marina Bay pada Sabtu.

Ini menandakan berakhirnya kejohanan yang kembali diadakan selepas lima tahun direhatkan akibat pandemik COVID-19 dengan majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad, yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sebanyak RM70,000 nilai hadiah ditawarkan dalam pelbagai kategori, merangkumi RM50,000 wang tunai dan RM20,000 dalam bentuk barangan memancing dengan pertandingan kali ini menyaksikan 90 peratus hadiah dibawa pulang oleh peserta dari negara jiran Brunei Darussalam.

Bagi kategori individu, gelaran juara disandang oleh Mohammad Taib Alikhan dengan tangkapan seekor Amberjack seberat 40.08kg, manakala naib juara dimenangi oleh PG Mohd Sufian Dato Maidin dengan tangkapan seekor Dog Tooth seberat 17.56kg dan tempat ketiga pula diraih oleh Choi Yong dengan tangkapan Dog Tooth seberat 15.24kg.

Dalam kategori berkumpulan, kumpulan diketuai Mohammad Taib Alikhan dinobatkan sebagai johan dengan jumlah tangkapan keseluruhan 47.36kg, diikuti kumpulan diketuai Felix Huong Chee Fung sebagai naib johan dengan jumlah 37.04kg, dan tempat ketiga menjadi milik kumpulan diketuai Mohammad Yusrisham Awg Yusof dengan tangkapan 37.00kg.

Sementara itu, kategori ikan khas Giant Trevally dimenangi oleh Bong Teck Yew dengan tangkapan seberat 25.20kg.

Dalam ucapan penutup, Ariffin memuji semangat juang para peserta yang bertarung di lautan selama lima hari empat malam yang merupakan tempoh yang lebih panjang berbanding edisi-edisi lalu.

“Kejohanan kali ini bukan sahaja tentang kejuaraan, tetapi tentang kecekalan, ketahanan mental dan fizikal semua pemancing yang sanggup meredah ombak, menempuh panas mentari dan berjaga malam demi semangat kesukanan,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pelancaran rasmi 14th Miri City International Deep Sea Fishing Tournament 2026, sebagai tanda komitmen penganjur untuk terus menjadikan Miri sebagai hab sukan memancing bertaraf antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

Menurut Majlis Bandaraya Miri (MBM), perancangan awal untuk edisi seterusnya sudah bermula dengan jaminan kejutan yang lebih hebat menanti. -EDISI UKAS