Kerajaan Sarawak Perkasa Pendidikan dan Infrastruktur, Lawas Sasar Jadi Pemain Utama Wilayah Utara

Disiarkan pada 25 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen jangka panjang dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan infrastruktur luar bandar, menjadikan Lawas sebagai pemacu utama pembangunan wilayah utara negeri ini.

Berucap dalam Majlis Perasmian Beyond Waves & Dance Rhythms Festival 2025 di Waterfront Lawas pada Sabtu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengumumkan beberapa inisiatif penting yang bakal mengubah landskap sosioekonomi Lawas.

Antaranya, beliau memaklumkan bahawa mulai tahun depan, pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke universiti milik negeri tidak perlu lagi membayar yuran pengajian, kerana ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Kita mahu anak-anak Sarawak, termasuk dari Lawas, mendapat pendidikan terbaik tanpa beban kewangan.

Pendidikan dan kemahiran adalah kunci kemajuan,” tegas beliau.

Selain itu, pembangunan MRSM di Lawas, penubuhan pusat kemahiran Centexs yang hampir siap, serta rancangan menaik taraf jalan raya, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan laut dalam, sistem air, elektrik dan komunikasi turut diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu.

“Walaupun kita di utara, kita tidak akan tertinggal.

Dengan sumber semula jadi yang kaya dan semangat perpaduan yang kukuh, Lawas boleh melangkah jauh ke hadapan,” tambah beliau.

Majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, menyaksikan sambutan meriah oleh masyarakat pelbagai kaum dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei.

Acara kemuncak festival termasuk perlumbaan perahu naga, pertunjukan tarian kebudayaan, dan festival makanan tempatan, yang bukan sahaja meraikan warisan budaya, tetapi juga merangsang ekonomi setempat melalui penglibatan peniaga kecil dan usahawan makanan.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Perahu Naga Lawas 2025, dengan pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan muncul juara dan membawa pulang RM5,000 serta piala.

Festival anjuran Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas itu disifatkan sebagai platform penting memupuk perpaduan, memperkukuh ekonomi komuniti dan memperkenal Lawas di mata pelancong serantau.-EDISI UKAS