MIRI: Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri ke-19 bukan sekadar pesta kebudayaan, tetapi turut menjadi platform penting dalam menghargai peranan wanita dan belia Dayak dalam memelihara warisan tradisi serta menyuburkan semangat kebersamaan etnik di Sarawak.
Majlis makan malam yang berlangsung di Meritz Hotel pada Sabtu menghimpunkan lebih 1,000 tetamu, termasuk barisan pemimpin negeri dan masyarakat Dayak, dalam sambutan bertemakan “Segulai Sejalai Nuju Pemansang” Bersama-sama Menuju Kemajuan.
Mewakili Menteri Perpaduan Negara, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil menegaskan bahawa perpaduan nasional hanya dapat dicapai apabila semua kaum diberi ruang untuk menyuarakan dan meraikan identiti mereka dalam suasana saling hormat-menghormati.
“Perpaduan bukan sesuatu yang boleh dipaksakan, ia lahir dari kefahaman dan pengalaman bersama. Gawai Dayak adalah contoh terbaik bagaimana budaya menjadi jambatan antara komuniti,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perayaan, Leo Bundan Mathew Sintan berkata, penyertaan para finalis dari pelbagai latar belakang dan daerah membuktikan bahawa budaya Dayak terus hidup dan berkembang melalui generasi baharu.
“Acara seperti ini memberi ruang kepada wanita dan anak muda untuk tampil sebagai duta budaya komuniti masing-masing.
Ia adalah bentuk pengiktirafan terhadap kecantikan, pengetahuan tradisional, serta keyakinan diri yang dibentuk melalui akar budaya kita,” katanya.
Antara acara kemuncak malam itu ialah pertandingan Kumang Iban, Dayung Sangon Bidayuh, Keligit Orang Ulu, dan Keling-Belawan, yang bukan sahaja mencerminkan keindahan budaya pelbagai suku kaum Dayak, malah menyerlahkan keterlibatan aktif generasi muda dan wanita dalam mengekalkan identiti warisan mereka.
Majlis turut menyaksikan pengumuman sumbangan berjumlah RM105,000 daripada pelbagai pemimpin negeri sebagai sokongan kepada program kebudayaan, termasuk dari Datuk Aaron Ago Dagang, Dato Sri Lee Kim Shin, dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Acara diakhiri dengan simbolik penyerahan penganjuran Gawai Dayak 2026 kepada Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA), menandakan kesinambungan sambutan yang berpaksikan semangat kolektif dan kepelbagaian budaya Sarawak.-EDISI UKAS