Drama Muzikal Rentap Semarak Semangat Patriotisme Rakyat Sarawak

Posted on 25 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pementasan drama muzikal epik Rentap: The Battle of Bukit Sadok berjaya memukau penonton dalam satu persembahan istimewa yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak di sini pada malam Sabtu.

Lebih menarik, pengunjung mula membanjiri kawasan persembahan seawal jam 6 petang bagi menyaksikan persembahan bersejarah ini yang mengangkat kisah pahlawan legenda Sarawak itu.

Mengangkat kisah perjuangan pahlawan legenda Iban, Rentap, drama muzikal itu dilihat berjaya menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Sarawak agar terus menghargai jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman penjajah.

Pementasan tersebut merupakan acara kemuncak kepada Festival Menuai dan Cerita Rakyat Sarawak yang dianjurkan setiap tahun oleh Kampung Budaya Sarawak sejak tahun 1996.

Teater yang dipersembahkan dengan gabungan dramatik seni persembahan, muzik tradisional serta elemen multimedia itu memberikan pengalaman mendalam dan menyentuh jiwa, terutamanya dalam menghayati keberanian serta ketokohan Rentap sebagai lambang penentangan terhadap penjajahan pada abad ke-19.

Persembahan teater tersebut turut dihadiri oleh tetamu khas, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Pementasan teater Rentap itu juga bukan sahaja bertujuan menghibur, malah sebagai platform pendidikan sejarah dan budaya yang dapat menyuntik rasa bangga terhadap warisan perjuangan anak Sarawak.

Sebagai usaha menghargai sokongan masyarakat, pihak penganjur menawarkan kemasukan secara percuma kepada semua pengunjung sepanjang dua hari pementasan berlangsung, iaitu pada 24 dan 25 Mei 2025.

Festival yang memenangi Anugerah Sarawak Hornbill 2024 ini turut bertujuan memperkukuh hubungan antara komuniti melalui perayaan pelbagai budaya, di samping memperkasakan warisan negeri serta merancakkan industri pelancongan tempatan.

Pementasan muzikal ini menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui penyampaian kisah-kisah rakyat dan legenda tempatan menerusi persembahan pentas yang penuh warna-warni serta elemen interaktif yang menghiburkan.

Manakala watak utama pahlawan Rentap dilakonkan oleh Anding Indrawani manakala Melissa Francis memegang watak Sawai, menjadikan pementasan ini antara yang paling dinanti-nantikan dalam festival tahun ini.-EDISI UKAS