MIRI: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan masa kini perlu disertai dengan kawalan dan tanggungjawab yang tinggi agar tidak menjejaskan ketepatan serta integriti laporan berita.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan bahawa meskipun AI semakin memainkan peranan penting dalam tugasan wartawan masa kini, penggunaannya mesti dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menghasilkan berita yang tidak tepat atau mengelirukan.
“AI ini boleh membantu tetapi kalau tidak berhati-hati, akan juga menimbulkan masalah.
“Kadang-kadang kalau tidak memperhatikan, berita itu jadi berita AI bukan berita yang betul, kurang tepat, dan boleh menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan Media Sarawak 2025 Zon Utara sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak di J Sports PLT, Miri, pada Sabtu.
Menyedari kepesatan perkembangan dunia digital, beliau mencadangkan agar persatuan wartawan seperti Northern Sarawak Journalists Association (NSJA) bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk menganjurkan kursus latihan berkaitan cabaran kewartawanan digital dan penggunaan AI dalam penyampaian berita.
“Mungkin Curtin University boleh membantu kerana mereka ada kursus dalam media massa.
“Supaya wartawan kita boleh ikuti aliran perkembangan kewartawanan dunia, dan kita dapat tingkatkan lagi taraf kewartawanan di Sarawak,” tambah beliau.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar pengamal media tidak hanya menumpukan kepada aspek teknologi semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kesihatan diri masing-masing.
Katanya, sebagai sokongan berterusan kepada kebajikan wartawan, beliau memperuntukkan dana sebanyak RM10,000 setiap tahun kepada NSJA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan tahunan.
Menurut Lee, wartawan yang sihat tubuh badan dan berpengetahuan dalam teknologi terkini akan menjadi aset penting dalam menyampaikan maklumat yang berkualiti kepada rakyat, selari dengan aspirasi pembangunan dan perpaduan di Sarawak.
“Saya ingin menggalakkan para wartawan menjaga kesihatan, penyakit hari ini seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan jantung adalah ancaman besar.
“Melalui peruntukan ini, wartawan boleh lakukan medical check-up dan kekal sihat,” ujar beliau lagi.
Terdahulu, pada sebelah pagi, Dato Sri Lee turut menyertai konvoi bermotosikal bersama Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta rombongan sebagai simbolik semangat kebersamaan dan sokongan terhadap penganjuran Karnival Sukan Media Sarawak 2025 Zon Utara.-EDISI UKAS