KASUMeS Perkukuh Ukhuwah Komuniti Media Sarawak Sempena HAWANA 2025

Posted on 24 May 2025
Source of News: ukas


MIRI: Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) yang julung kali diadakan di Zon Utara bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Peringkat Sarawak dilihat sebagai platform baharu yang mampu memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti media di negeri ini.

Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, KASUMeS merupakan satu daripada tiga pengisian utama yang diperkenalkan tahun ini sempena HAWANA, selain Persidangan Media Sarawak (SMeC) dan Jamuan Teh Bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak.

Menurut beliau, pendekatan penganjuran aktiviti sukan seperti pickleball dalam KASUMeS bertujuan memupuk semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan warga media, di samping menghargai peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Kita amat bertuah kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengamal media di Zon Utara. Pickleball dipilih kerana ia semakin popular dan boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat tua, muda, lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena Karnival Sukan Media Sarawak 2025 Zon Utara yang berlangsung di J Sports PLT, Miri pada Sabtu.

Tambah beliau, UKAS sebagai penganjur utama berharap KASUMeS akan menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama pengamal media, malah memperkukuh semangat kerjasama dan kekitaan dalam komuniti tersebut.

“Melalui platform seperti ini, kita bukan sahaja bekerja bersama, tetapi juga bersukan bersama. Ini mencerminkan satu komuniti media yang sihat, bersatu dan berdedikasi,” ujarnya.

Zon Utara merangkumi penglibatan pengamal media dari Miri, Bintulu dan Limbang, manakala Zon Tengah yang melibatkan Sibu, Kapit dan Mukah telah melangsungkan karnival sukan serupa lebih awal di Sibu.

Antara agensi dan organisasi yang turut serta memeriahkan acara ialah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang; Unit Keselamatan dan Pemantauan Sarawak (UKPS); Pejabat Residen Bahagian Miri; Jabatan Penerangan Daerah Miri; Jabatan Penyiaran RTM Miri; Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Miri; Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri; Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA); Miri Pickleball Association; Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Miri; Sukarelawan UKAS; Permaisuri Riders Miri Group; Miri Riders Moto Club; Brother Bikers Miri Club; MYY Maxi; Scooter Motor Club; serta Santai Bikers Team.

Terdahulu, Awang Putrayusrie telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang acara Pickleball dan Dart.

Bagi kategori Men’s Double Pickleball, gelaran juara disandang oleh pasangan Mohd Syaffuan Zaini dan Anwar Hanafi, diikuti oleh Rafiq Azli Ramli dan Greg Douglyn selaku naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Faisal dan Rosli Abdullah.

Dalam kategori Women’s Double, pasangan Grace Luyang dan Nur Amirasari Rahman berjaya merangkul kejuaraan, manakala Jenifer Laeng dan Sharon muncul sebagai naib johan, diikuti Melanie dan Siti Zubaidah di tempat ketiga.

Bagi kategori Mixed Double pula, Mohd Syaffuan Zaini sekali lagi mencatat kejayaan apabila bergandingan bersama Riza Kasim untuk muncul juara, diikuti oleh pasangan Nur Amirasari Rahman dan Rafiq Azli Ramli sebagai naib johan, serta Jenifer Laeng dan Mohd Syah Hafizul yang menduduki tempat ketiga.

Anugerah Pemain Terbaik bagi acara Pickleball diberikan kepada Mohd Syaffuan Zaini dan Nur Amirasari Rahman atas prestasi cemerlang yang dipamerkan.

Sementara itu, dalam pertandingan Dart, Faisal Reinly dinobatkan sebagai johan bagi kategori lelaki, diikuti David Belulok sebagai naib johan dan Mohd Amin Syafiq Saat di tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan pula, Maizusi Piee muncul juara, diikuti oleh Rosemaria Buma dan Endrawati Tuah masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Anugerah Pemain Terbaik bagi acara Dart dimenangi oleh Noor Zalikha dan Yamit Tarun.-EDISI UKAS