SIBU: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Sibu telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena dengan sambutan Hari Gawai, di Stesen Minyak Petronas Powerfill Enterprise, Jalan Lanang Barat, di sini pada Jumaat.
Program anjuran Pejabat Residen Bahagian Sibu dengan kerjasama Petronas ini bertujuan untuk menyampaikan mesej keselamatan secara langsung kepada pengguna jalan raya sekali gus menyeru masyarakat agar sentiasa berhati-hati sepanjang musim perayaan.
Residen Bahagian Sibu merangkap Pengerusi MKJR, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman memberitahu, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 683 kes kemalangan direkodkan di Bahagian Sibu dari Januari hingga April 2025, termasuk 13 kes kematian yang merupakan satu angka amat membimbangkan.
Sehubungan itu katanya, MKJR menyasarkan pengurangan kadar kemalangan menerusi pelaksanaan program pendidikan, latihan dan kempen berterusan, selain mencadangkan penguatkuasaan undang-undang secara lebih tegas serta penggunaan teknologi seperti kamera trafik.
“Setiap statistik bukan sekadar nombor, tetapi mewakili nyawa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang. Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya ketika berucap ringkas memyempurnakan pelancaran kempen tersebut.
Selain itu, beliau turut menggesa agar infrastruktur jalan raya, termasuk lampu isyarat dan papan tanda amaran, diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kemalangan akibat kemudahan yang rosak.
Dalam program tersebut, sebanyak 200 cenderahati dan 50 topi keledar telah diedarkan kepada pengguna jalan raya sebagai salah satu usaha mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej keselamatan dengan lebih berkesan.
Turut serta ialah wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Kaunselor Paul Teo Ming Pau; Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkifli Suhaili; Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu, Nurul Fairezzah Safri; Pengurus Kawasan PETRONAS SWO3, Mohamad Jais Daud dan Pengurus Powerfill Enterprise Shirley Yu.-EDISI UKAS