BAU: Pesta Tasik Biru terus menjadi tumpuan orang ramai apabila pertandingan separuh akhir Mrs Tasik Biru 2025 berlangsung dengan penuh meriah malam tadi, disaksikan oleh para pengunjung yang hadir memberikan sokongan padu kepada para peserta.
Penganjuran pertandingan tahun ini tampil dengan kelainan apabila buat julung kalinya dua pertandingan ratu dianjurkan secara serentak sempena pesta tersebut.
Terdahulu, Joana Jane telah dinobatkan sebagai Miss Tasik Biru 2025, dan malam tadi pentas diteruskan dengan sesi pencarian bagi Mrs Tasik Biru 2025 pula.
Seramai 15 peserta telah mempersembahkan keanggunan dan keyakinan masing-masing dalam pusingan separuh akhir, dan hasil penilaian para juri, 10 peserta telah berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Mereka ialah Voon Ngat Jan, Angeletti Amen, Chrisna Entera, Jessica Giang, Annette Diseng, Jennifer Andrew, Ennelia Johnek, Shinia James, Fellicia Pamella dan Shino Chung.
Turut mencuri tumpuan ialah Shinia James yang dinobatkan sebagai penerima gelaran Best Evening Gown hasil penampilan memukau yang dipersembahkannya.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi serta beberapa tetamu jemputan lain.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pentas akhir Mrs Tasik Biru 2025 yang akan berlangsung pada 25 Mei 2025 (Ahad), bermula jam 7.30 malam di Pentas Utama, Pesta Tasik Biru.
Sementara itu, Malam Pesta Muda-Mudi turut akan diadakan pada malam ini, 24 Mei 2025, di lokasi yang sama sebagai sebahagian pengisian menarik sepanjang pesta berlangsung.—EDISI UKAS