LIMBANG: Agensi-agensi kerajaan diseru untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyebarluaskan inisiatif bantuan kerajaan seperti Majlis Sejambak Kasih bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan, terutama menjelang musim perayaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, usaha ini penting bagi memastikan golongan layak tidak tercicir daripada menerima bantuan hanya kerana kurangnya maklumat di peringkat akar umbi.
“Kita tidak mahu mereka yang layak menerima bantuan-bantuan kerajaan tercicir atau tidak tahu mengenainya, nanti kerajaan akan disalahkan dan dituduh tidak membantu rakyat sedangkan bantuan itu sebenarnya sudah ada cuma ia tidak sampai kepada rakyat lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sejambak Kasih Gawai anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Bahagian Limbang yang berlangsung di Dewan Kampung Bunga Raya, Jumaat lalu.
Menurut beliau, agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah perlu lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat bantuan terus kepada rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman.
“Saya berharap inisiatif bantuan kerajaan ini sampai kepada rakyat dengan agensi-agensi yang berkenaan seperti Jabatan Kebajikan, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Limbang perlu menyebarluaskan dan menghebahkannya perkara ini ke peringkat akar umbi,” ujarnya.
Beliau turut menggesa supaya kakitangan agensi tidak hanya menunggu di pejabat, sebaliknya turun padang untuk memberikan penerangan dan mendekati rakyat.
Majlis Sejambak Kasih merupakan antara inisiatif murni kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyantuni golongan memerlukan, khususnya dalam suasana perayaan seperti Gawai.
Ahli Parlimen Limbang itu turut menyatakan bahawa perayaan Gawai bukan sahaja melambangkan kejayaan musim menuai, tetapi juga menjadi medium penting untuk mengukuhkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai latar belakang tapi kita semua dapat hidup dalam suasana aman dan makmur.
“Keamanan dan perpaduan ini amat penting untuk meneruskan perancangan pembangunan dan merancakkan ekonomi Sarawak seperti yang dirancang oleh pemimpin-pemimpin kita,” katanya.
Inisiatif seperti Majlis Sejambak Kasih menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi perayaan yang penting bagi komuniti setempat. – EDISI UKAS