MIRI: Majlis Penangguhan Gawai Dayak Bazaar 2025 yang berlangsung pada Jumaat, menandakan berakhirnya penganjuran selama 23 hari yang bermula sejak 1 Mei lalu.
Bazaar yang dianjurkan oleh Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) ini telah berjaya menjadi pusat tumpuan utama bagi aktiviti kebudayaan, perdagangan dan sosial masyarakat pelbagai kaum di bandaraya Miri.
Penganjuran tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 100 usahawan Dayak dengan sebanyak 74 kanopi didirikan, menawarkan pelbagai makanan, minuman serta hasil kraftangan tempatan, khususnya daripada komuniti Dayak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan perkembangan positif dan minat yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan Dayak terhadap bidang keusahawanan.
”Saya mengucapkan syabas kepada GADS atas kejayaan menganjurkan Baazar ini kerana ia telahpun mencapai objektif sebagai platform penting untuk usahawan Dayak mengembangkan minat dalam bidang perniagaan” ujarnya ketika berucap dalam majlis penangguhan tersebut.
Tambahnya, Beliau turut berkongsi bahawa idea asal penganjuran Gawai Dayak Bazaar ini bermula 11 tahun yang lalu, yang diinspirasikan daripada kejayaan Bazaar Ramadan dan Tahun Baru Cina.
Menurutnya, beliau menyokong usaha GADS sejak dari awal dan turut menyediakan peruntukan khas pada tahun lalu bagi menjayakan penganjuran ini.
”Keunikan Sarawak terletak pada kepelbagaian budaya. Kita harus terus memberi peluang kepada semua komuniti untuk berkongsi tradisi mereka dan mungkin di masa akan datang kita boleh mempertimbangkan penganjuran baazar untuk perayaan lain seperti Krismas juga,” ujarnya. -EDISI UKAS