KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menggalakkan para penulis dan penyelidik untuk menghasilkan karya berasaskan sejarah tempatan Sarawak dari perspektif masyarakat sendiri.
Malah, beliau turut mencadangkan dua topik utama yang boleh dijadikan bahan penulisan, iaitu kisah Bukit Sadok dan peranan Rentap, serta sejarah kawasan Lidah Tanah dan Siniawan yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan penting di Sarawak.
“Salah satu topik yang boleh diketengahkan ialah kisah Bukit Sadok dan peranan Rentap. Sekiranya boleh, kajian wajar dilakukan dari sudut perspektif kita sendiri, berdasarkan sejarah kita.
“Ini kerana terdapat hubung kait antara kisah tersebut dengan isu lanun (piracy), dan perlu diteliti sama ada benar-benar wujud kaitan antara Rentap dan piracy.
"Oleh itu, satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan, dan mungkin judul yang sesuai untuk kajian tersebut ialah "Bukit Sadok Rentap" maka dengan itu, kita dapat mendokumentasikan sejarah tersebut secara lebih terperinci," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Selain itu, cadangan kedua pula menyentuh tentang kawasan Lidah Tanah dan Siniawan, yang menurut beliau pernah menjadi 'seat of power' sebelum era pemerintahan Rajah James Brooke.
"Yang kedua, 'Merpati Jepang Datuk Patinggi Ali: Seat Of Power Di Sarawak' sebab Sarawak pada ketika itu bukanlah seperti kini di mana kawasannya melibatkan daripada Lidah Tanah sehingga Siniawan tetapi 'seat of power' terletak di Lidah Tanah.
"Banyak nilai-nilai sejarah sebelum pemerintahan James Brooke dan semasa juga yang berkisarkan di Lidah Tanah dan Siniawan," ujarnya.
Jelasnya, sejarah-sejarah yang terdapat di kawasan menyebabkan beliau bersetuju untuk membuat jalan raya empat lorong ke Bau melimpasi Siniawan untuk membolehkan pelancong ke sana dan melihat tapak tentang apa yang berlaku di Lidah Tanah dan Siniawan.
Tambah beliau, sejarah ini juga ada berhubung kait dengan dengan perkampungan Melayu yang terdapat di Siniawan di mana di sanalah terdapat perpaduan yang erat dengan orang Melayu dengan masyarakat Bidayuh di kawasan tersebut.
"Jadi, bolehlah untuk menulis buku sedemikian dari sudut sejarah kita dengan adanya bahan-bahan yang boleh kita bukukan untuk menggalakkan masyarakat kita menulis dengan fakta," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan untuk menaikkan hadiah wang tunai untuk Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak bagi kategori Penerbitan Luar daripada RM5,000 kepada RM10,000 manakala bagi kategori Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) daripada RM8,000 kepada RM15,000.
Ujarnya, ini sebagai usaha menggalakkan penerbitan yang lebih berkualiti dan berlandaskan fakta untuk generasi yang akan datang.
Di penghujung majlis, Premier Sarawak telah menyampaikan anugerah kepada pemenang utama.
Bagi kategori terbitan DBP, buku berjudul ‘Empurau: Ikan Eksotik Sarawak’ hasil karya bersama oleh Emilyn Badut, Mohd Saiful Maifin dan Siti Hawa Mohamad Ali telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 beserta watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP.
Manakala untuk kategori terbitan luar, buku berjudul Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak 300 ESS-1647 ES hasil karya Datu Dr Sanib Said telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad; ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS