Permintaan Tinggi Untuk Peranti Digital, Kerajaan Sarawak Pertimbang Tambah Peruntukan

Disiarkan pada 24 May 2025
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan untuk menambah peruntukan bagi pembelian peranti digital seperti iPad dan komputer riba kepada pelajar berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hal ini berdasarkan maklum balas yang diterima apabila permintaan untuk bantuan membeli buku sangat kurang berbanding permintaan untuk mendapatkan peranti digital.

"Kita telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa anak-anak kita pada masa kini lebih cenderung untuk memuat turun buku ke dalam iPad untuk membaca bahan rujukan terus dari peranti tersebut, manakala permohonan untuk buku fizikal pula amat berkurangan.

"Oleh itu, saya memberitahu kepada dengan Datuk Annuar Rapaee (Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak) supaya menambah peruntukan untuk iPad, tetapi terpaksalah mengurangkan bajet bagi baucar buku.

"Insya-Allah, perkara ini akan dipertimbangkan dalam bajet yang akan datang," katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Untuk makluman, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah memperkenalkan inisiatif 'Sarawak Free Laptop Assistance' dan 'Sarawak Book Voucher Assistance' bagi membantu pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, langkah ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma pada masa akan datang.

Jelasnya, peranti digital ini akan menjadi salah satu kemudahan utama yang diberikan kepada pelajar sebagai alat untuk menimba ilmu melalui digital.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad; ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS