KUCHING: Jalan-jalan bekas balak yang menjadi laluan utama ke kawasan pedalaman Murum dan Tubau kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan, dengan kerosakan teruk yang mengancam keselamatan pengguna setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, ia termasuk laluan ke Lusong Laku, Ulu Jelalong, Long Unan/Senep, Long Lawen, Long Koyan serta jalan ke Rumah Ding dan Rumah Ugak.
Menurutnya, laluan tersebut memerlukan perhatian segera memandangkan ia menjadi nadi utama penduduk setempat untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
"Mereka tiada pilihan lain selain menggunakan jalan berkenaan setiap hari, dan berhadapan risiko tinggi yang boleh mengancam nyawa hanya untuk memenuhi keperluan asas harian.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Saya menyeru kerajaan untuk segera melaksanakan projek naik taraf jalan-jalan bekas balak yang kritikal demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman,"tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Kennedy turut menzahirkan rasa simpati terhadap penduduk dan penjawat awam di kawasan pedalaman yang terpaksa mengharungi perjalanan berbahaya setiap hari menggunakan laluan berkenaan demi melaksanakan tugas dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
"Antara golongan yang paling terkesan adalah warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Lusong Laku, petugas kesihatan Klinik Kesihatan Lusong Laku yang sering ulang alik menghantar pesakit ke Klinik Kesihatan Sungai Asap dan seterusnya ke Hospital Bintulu, termasuk kakitangan agensi kerajaan yang terpaksa menggadaikan nyawa bagaikan 'telur di hujung tanduk' apabila menggunakan jalan yang rosak teruk ini,"ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau merayu agar kerajaan Sarawak dan kementerian berkaitan segera mengambil tindakan menaiktaraf jalan-jalan tersebut demi meningkatkan akses dan kesejahteraan komuniti luar bandar. -EDISI UKAS