Sarawak Perlu Autonomi Pendidikan & Kesihatan

Disiarkan pada 23 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Keperluan untuk mengembalikan kuasa autonomi pendidikan dan kesihatan kepada Sarawak perlu diberi keutamaan, melebihi perdebatan politik mengenai pembahagian hasil minyak dan gas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang menegaskan bahawa fokus harus diberikan kepada hak Sarawak dalam bidang yang lebih asas seperti pendidikan dan kesihatan.

“Saya fikir, bukankah itu yang diperjuangkan oleh Sarawak selama ini? Walaupun hingga hari ini, kita masih mengejar untuk mendapatkan kembali kawalan terhadap pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam sidang media semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Tegasnya, Kerajaan Persekutuan seharusnya meneruskan tanggungjawab tahunan dalam menyediakan bajet untuk sekolah dan hospital di Sarawak.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk terus mendukung pembangunan berdasarkan keupayaan sendiri sambil memperkukuh tuntutan terhadap hak-hak negeri di bawah Perlembagaan Malaysia.-EDISI UKAS