KUCHING: Keperluan untuk meningkatkan keselamatan awam di Bintulu semakin mendesak berikutan kepesatan pembangunan, peningkatan isu sosial dan kekerapan insiden kemalangan di kawasan industri.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming mencadangkan agar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dinaik taraf daripada Gred B ke Gred A agar seiring dengan pertumbuhan pesat daerah itu sejak 1993.
“Langkah ini disifatkan penting bagi memperkasakan keupayaan pasukan polis, termasuk penambahan anggota, peralatan dan kehadiran lebih mantap di lapangan untuk membanteras jenayah, menjaga ketenteraman awam serta menyokong keperluan keselamatan dalam kawasan berindustri tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai insiden keselamatan di Zon Perindustrian Samalaju yang dilaporkan berlaku kejadian letupan dan berpotensi menjejaskan keselamatan penduduk dan pekerja.
Penekanan ini katanya perlu diberikan agar aspek keselamatan industri dan alam sekitar dipantau dengan lebih ketat menerusi pematuhan peraturan dan pemeriksaan berkala oleh pihak berwajib.
Tegas beliau, orang awam yang tinggal berhampiran kawasan industri juga perlu diberi penerangan jelas mengenai prosedur kecemasan agar lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.-EDISI UKAS