KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mendaftarkan sejumlah 312.8 kilometer (km) bekas jalan balak di bahagian Kapit di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, langkah proaktif ini membolehkan bekas jalan balak diselenggara menerusi peruntukan MARRIS selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Dengan cara mendaftarkan bekas jalan balak di bawah MARRIS, peruntukan kewangan boleh didapatkan untuk menyelenggara jalan ini, sama ada mendaftarkannya sebagai jalan raya negeri (JRN) atau jalan raya kampung (JKPG) mengikut kriteria serta spesifikasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai dalam Persidangan DUN Ke-19 pada Jumaat.
Datuk Ir. Aidel menjelaskan, terdapat jalan balak yang masih belum berdaftar memandangkan masih di bawah tanggungjawab syarikat konsesi balak.
Sehingga Februari 2025, jumlah ini melibatkan 13,687.9km merangkumi 8,553km di kawasan ‘Forest Timber Licence’ dan 5134.9km di kawasan ‘Licence Planted Forest’.
Manakala, jalan balak yang masih aktif adalah sepanjang 1,172.6km.
“Kerajaan Sarawak kini sedang merancang untuk mengambil alih bekas jalan balak termasuk jambatan kayu yang terdapat di sepanjang jajaran ini sepanjang 188km,” tambahnya. -EDISI UKAS