TEBEDU: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian telah memperuntukkan sebanyak RM63,000 bagi pengukuran tanah di Kampung Koran Empaneg, di sini.
Peruntukan ini akan membolehkan sebanyak 143 lot kediaman di kampung tersebut diukur pada bulan September 2025 dengan keluasan keseluruhan kawasan yang terlibat seluas 17.81 ekar.
Penolong Pentadbir Tanah, Atin Rimpa memaklumkan bahawa permohonan pengukuran telah diluluskan sejak 1 Disember 2022, namun pelaksanaan hanya dapat dimulakan tahun ini selepas memperoleh peruntukan daripada kerajaan negeri.
“Tahniah kepada penduduk Kampung Koran Empaneg kerana berjaya dipilih untuk pengukuran.
“Proses ini akan dijalankan mengikut kaedah Projek Dokumentasi Tanah oleh pihak Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Serian,” katanya.
Tujuan utama pengukuran ini adalah untuk mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN), yang memberikan hak milik kekal kepada penduduk yang layak.
Setiap lot yang disukat tidak melebihi 0.5 ekar dan mestilah mempunyai akses keluar masuk yang jelas.
Antara syarat kelayakan untuk menuntut hak milik termasuklah berumur 18 tahun ke atas serta berstatus Bumiputera Sarawak.
Bagi mereka yang bukan Bumiputera Sarawak tetapi ingin menuntut hak milik, mereka perlu menyertakan salinan gazet “Deemed to be Native” di bawah Seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992.
Dalam sesi dialog yang diadakan di kampung tersebut, Penghulu Jambeng Surak mengiktiraf peranan besar inisiatif DBNA dalam mempercepatkan proses penyukatan dan menyelesaikan isu sempadan tanah dalam kalangan komuniti.
“Penyukatan ini memberi faedah besar kepada penduduk termasuk hak mutlak ke atas tanah, pengiktirafan rasmi, serta keselamatan hak individu.
“Ia juga membantu kerajaan dalam merancang dan menyediakan kemudahan awam secara lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh penduduk kampung agar memberikan kerjasama penuh supaya proses penyukatan berjalan lancar.
Selepas selesai pengukuran, pemilik tanah akan menerima geran tanah di bawah Seksyen 18 KTN secara percuma dan sah seumur hidup.
Sebarang bantahan terhadap proses ini boleh dikemukakan secara bertulis kepada Jabatan Tanah dan Survei Serian serta Pegawai Daerah Tebedu dalam tempoh 30 hari selepas pameran hasil pengukuran dilakukan.
Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Ketua Kampung Koran Empaneg, Dominic Ginai; Penolong Jurukur dan Teknikal Jabatan Tanah dan Survei Serian, Richard Lim Yew Ginn; serta wakil Presiden DBNA, Janer Jikel. -EDISI UKAS