SINGAPURA: Cloud Telecom, syarikat telekomunikasi berpangkalan di Sarawak, mencatat sejarah apabila melancarkan aplikasi global pertamanya, eSIMM ROAM di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).
Pelancaran ini merupakan langkah strategik Sarawak untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi teknologi digital inovatif.
Menurut Pengerusi Eksekutif Cloud Telecom, Dato Hii King Chiong pelancaran ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi, malah mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab inovasi digital yang mampu bersaing di peringkat global.
“Aplikasi ini dibangunkan bagi mengatasi masalah perayauan antarabangsa seperti kos tinggi, kesukaran menukar SIM, serta gangguan liputan.
“Dengan eSIMM ROAM, pengguna boleh kekal berhubung di luar negara dengan lebih mudah dan kos efektif,” ujarnya semasa pelancaran rasmi yang diadakan di Galeri STATOS di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden Cloud Telecom, Frank Hwong memaklumkan bahawa lebih 40 juta pengguna telah beralih kepada teknologi eSIM pada tahun 2024.
Katanya, jumlah ini dijangka meningkat kepada 2 bilion telefon pintar menjelang akhir 2025, mencerminkan lonjakan penggunaan yang pesat.
Melihat kepada potensi tersebut, Cloud Telecom menyasarkan jutaan pengguna global akan menggunakan aplikasi ini dalam tempoh dua tahun akan datang.
STATOS pula dilihat sebagai pemain penting dalam menghubungkan syarikat teknologi Sarawak dengan pasaran global.
eSIMM ROAM, yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak, kini menjadi penyedia eSIM global pertama berasaskan aplikasi dari negeri itu.
Ia menawarkan sambungan data segera di lebih 140 negara merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika, dan dijangka berkembang ke 180 negara tidak lama lagi.
Selain pengguna individu, aplikasi ini juga menyasarkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan penyelesaian komunikasi antarabangsa yang fleksibel dan mudah digunakan.
Antara kelebihan aplikasi ini termasuk antara muka yang mesra pengguna, boleh dimuat turun di seluruh dunia termasuk di China, serta sokongan pelanggan 24 jam sehari.
Cloud Telecom turut memperkenalkan Program Rakan Niaga Saluran, yang membolehkan individu, usahawan dan PKS menyertai tanpa sebarang pelaburan awal.
Program ini memberi peluang menjana pendapatan menerusi komisen menarik serta akses kepada teknologi eSIM terkini.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan, serta barisan pengurusan kanan Cloud Telecom dan STATOS.-EDISI UKAS