KUCHING: Jonathan Chan Tian Sheng melakar satu kejayaan di Bumi Kenyalang apabila berjaya memenangi gelaran Masters pada Sarawak International Skills Challenge (SISC) berlangsung di Megalanes East, Bintang Megamall baru-baru ini.
Wakil pasukan Sunway Megalanes yang pernah memenangi Sarawak Hornbill Team Cup pada 2023 dan mewakili Sunway Megalanes pada cabaran ini mencatat jatuhan pin sebanyak 1,732 dalam lapan pusingan perlawanan.
Beliau berkelebihan 63 pin berbanding tempat kedua, Muhammad Hafiz Zainuddin (Podium/MTBC) manakala peserta Podium, Ahmad Muaz Mohd Fishol di tempat ketiga dengan 1,655 pin.
Kemenangan itu membolehkan Jonathan Chan meraih RM10,000, manakala Muhammad Hafiz dan Ahmad Muaz masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM2,500.
Dalam pada itu, Daniel Tan Yan Han mewakili Hero Bowling menduduki tempat keempat dengan jatuhan 1,648 pins, disusuli Syafiq Ridhwan (Podium) dengan 1,616 pin.
Tiga lagi peserta Sarawak, Musayyar Khalid, Abang Afiq Yazid Abang Azman dan Bong Kihow menduduki tempat ketujuh hingga kesembilan dengan jatuhan 1,598 pin, 1,597 pin dan 1,570 pin.
Atlet elit Sarawak yang juga pemenang emas SUKMA, Lavinia Kho Jia Jie yang mewakili MSNS/SSC/ABAS/Hero Bowling sekadar menduduki tempat ke-22 dengan 1,486 pin.
Bagaimanapun, beliau tidak pulang tangan kosong apabila berjaya memenangi kategori wanita bawah 22 tahun dengan mengumpul 2,563 pin, unggul dengan perbezaan 344 pin di hadapan wakil PTNS (Baru), Nur Jeehan Iezzaty Suffian.
Selain itu, beliau turut meraih hadiah selepas melakar permainan tertinggi dengan 252 pin pada hari pertama (Skuad A).
Pemenang lain ialah Michelle Wong (Wanita Senior), Yakob Abu Bakar (Lelaki Senior), Mohd Helmi Adham (Spinner), Mohammad Aiman Syahin Sulaiman (Lelaki B19), Shaun Hayden Rozario (Lelaki B16), Noel Ayden Constantine Augustine (Lelaki B13), Claudia Kumang Jakson (Wanita B19), Amanda Joyce Effendy (Wanita B16), Izara Hannah Erwan (Perempuan B13) dan Maisara Mazuan (Perempuan B10).
Hadir semasa majlis penyampaian hadiah ialah Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN), Alan Ling Sie Kiong yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Selain itu, turut bersama ialah Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) merangkap Timbalan Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia MTBC, Sunny Si Poh Heng; Timbalan Presiden ABAS, Shaifulbahri Shukri; Naib Presiden ABAS merangkap Naib Presiden Kanan MTBC, Robert Lu Nam Min; Setiausaha MTBC, Maradona Chok dan Ketua Perbadanan Sukan Sarawak (Zon Utara), Netty Elvis. - EDISI UKAS