MEASAT Bentang Peta Hala Tuju Aeroangkasa Kepada Premier Sarawak

Disiarkan pada 22 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: MEASAT Global Berhad (MEASAT) kini memainkan peranan penting dalam usaha merintis pembangunan industri aeroangkasa di Sarawak, susulan pelantikan syarikat itu sebagai perunding oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya telah membantu merangka Peta Hala Tuju Aeroangkasa Sarawak yang telah pun dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Perincian pelan ini masih belum sesuai untuk diumumkan, dan kita menunggu pengumuman rasmi daripada Premier Sarawak,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Khamis.

Tambah beliau, selain membincangkan pelan aeroangkasa, MEASAT turut memaklumkan tentang sumbangan berterusan dan penglibatan pihaknya dalam memperkukuh infrastruktur komunikasi di Sarawak, serta berkongsi rancangan masa depan syarikat.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menyaksikan model roket Ariane-5 yang dibawa khas oleh MEASAT untuk dipamerkan kepada beliau.

Menurut Yau, roket tersebut telah digunakan untuk melancarkan satelit MEASAT-3d pada 22 Jun 2022 dari European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Selain itu, turut dipamerkan model satelit MEASAT-3d yang dilancarkan dalam misi berkenaan.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Ketua Penasihat Undang-Undang MEASAT, Tan Lian Kim; Naib Presiden IT dan Transformasi Digital MEASAT, Mohd Akmal Yahaya dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat MEASAT Shawna Felicia.-EDISI UKAS