Dua Projek Perumahan Sakit di Matang Tunjuk Kemajuan, Kerajaan Komited Lindungi Hak Pembeli

Disiarkan pada 22 May 2025
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Dua projek perumahan sakit di Matang, Kuching iaitu Taman Millennium dan Taman Greenwoods mula menunjukkan perkembangan positif selepas dilaksanakan oleh kontraktor penyelamat.

Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) dalam kenyataan media pada Khamis berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri MPHLG, Datuk Michael Tiang Ming Tee pada 15 Mei 2025.

Mesyuarat tersebut turut menjadi platform kepada pembeli rumah yang terjejas untuk bersemuka dengan pihak berkepentingan dan mendapatkan penjelasan berhubung status projek.

Menurut Datuk Michael dalam kenyataan itu, Projek Taman Millennium yang mengalami kelewatan selama lima tahun daripada tarikh asal penyerahan milikan kosong pada tahun 2020 kini telah berjaya diselamatkan oleh pihak penyelamat (White Knight) selepas pemaju asal diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi pada 2022.

Projek tersebut telah menerima Sijil Jalan daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada 30 April 2025 dan kini berada di peringkat akhir menunggu pengeluaran Sijil Kelayakan Menduduki (OP).

Sementara itu, Projek Taman Greenwoods pula menerima Sijil Jalan pada 4 November 2024 namun mengalami kelewatan dalam proses OP disebabkan isu pematuhan teknikal.

Bagaimanapun, dengan kerjasama antara agensi Kerajaan dan pemaju, projek tersebut berjaya memperoleh kumpulan pertama OP pada 15 April 2025 – satu pencapaian penting selepas lapan tahun tertangguh.

Kerajaan menyedari kelewatan dalam pengeluaran OP telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembeli yang sekian lama menanti untuk menduduki rumah sendiri.

Justeru, MPHLG menggesa pemaju yang terlibat supaya segera memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa tanpa sebarang penangguhan lagi.

Dalam pada itu, Datuk Michael turut menegaskan bahawa pematuhan terhadap undang-undang bukan pilihan tetapi merupakan kewajipan moral dan perundangan kepada Kerajaan dan para pembeli.

Pemaju diingatkan agar mematuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan dalam Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan), 2013 dan Peraturan-Peraturan berkaitan.

“Tindakan yang melanggar hak pembeli akan dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dan akan diambil tindakan sewajarnya oleh Kementerian,” tegas beliau.

MPHLG katanya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi Kerajaan, pemaju dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan projek perumahan sakit di Sarawak dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS