Usaha Memperkasakan Belia DUN Balingian Terus Diperhebat

Disiarkan pada 22 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Meskipun belum terdapat perancangan khusus untuk membina Pusat Keusahawanan Belia dan Inkubator Industri Kreatif di Balingian, usaha memperkasa generasi muda dalam sektor keusahawanan tetap giat dilaksanakan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) menerusi pelbagai pendekatan strategik.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Dr Ripin Lamat berkata, walaupun cadangan membina pusat keusahawanan di Balingian belum tersenarai dalam perancangan semasa, belia di kawasan tersebut tidak diketepikan.

“Terdapat beberapa fasiliti lain
berdekatan iaitu Mukah Digital Innovation Hub di bawah Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) di Mukah di bawah kendalian SEDC.

“Kita juga dimaklumkan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) mempunyai perancangan untuk membina Anjung
Usahawan Balingian yang mana proses pengambilalihan tanah tapak projek telah selesai dilaksanakan.”

Ujarnya ketika menjawab soalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.

Fasiliti ini katanya bakal menyediakan ruang seperti kiosk jualan, pusat pemprosesan, inkubator, gerai makanan dan ruang aktiviti komuniti, menjadikannya pusat sehenti pembangunan usahawan setempat.

Dalam usaha memperluaskan impak pembangunan keusahawanan belia pula, MYSED jelasnya turut mempertingkatkan pelaksanaan program-program kesedaran dan pembinaan kapasiti di seluruh negeri.

Antaranya ialah penambahbaikan pengisian Program Jelajah Belia Sarawak; ‘Youth Entrepreneur Setup’ (YES) 3.0; ‘Sarawak Youth Business Idea Competition’ (SAYBIC); dan ‘Sarawak Youth StartUP Development Program’.

Selain itu jelasnya, MYSED turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan penubuhan ‘Startup Hub’ di Balingian pada masa akan datang, bergantung kepada perkembangan semasa dan keperluan komuniti setempat. -EDISI UKAS