Program Jiwa@Komuniti Madani Perkasa Masyarakat Rumah Panjang

Disiarkan pada 22 May 2025
Sumber Berita: UKAS


PAKAN: Ahli Komuniti Madani di Daerah Pakan diseru agar memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan dasar-dasar penting kerajaan kepada masyarakat luar bandar, khususnya penduduk rumah panjang.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan,Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, berkata usaha ini penting dalam memastikan maklumat kerajaan sampai terus kepada rakyat, seterusnya membentuk masyarakat yang peka dan berdaya tahan terhadap cabaran semasa.

“Peranan Komuniti Madani bukan sekadar menyentuh isu nasional seperti penipuan dalam talian, judi, dadah dan gejala sosial, tetapi turut merangkumi penyampaian pelbagai dasar serta inisiatif kerajaan negeri yang membawa manfaat langsung kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pakan di Rumah Janang, Sungai Wong pada Rabu.

Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi antara Komuniti Madani, tuai rumah dan agensi kerajaan dalam melaksanakan program pembangunan komuniti yang berkesan.

Terdahulu, program dimulakan dengan sesi taklimat khas oleh Jabatan Penerangan mengenai ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, termasuk langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh masyarakat.

“Kes penipuan dalam talian kini semakin membimbangkan. Ahli Komuniti Madani perlu menjadi barisan hadapan dalam memberi kesedaran kepada penduduk tentang taktik licik yang digunakan oleh scammer,” tegas beliau lagi.

Program Jiwa@Komuniti Madani ini menjadi wadah penting bagi memperkasa komuniti luar bandar, memperkukuh kefahaman mereka terhadap isu-isu semasa serta menggalakkan penyebaran maklumat sahih melalui saluran rasmi kerajaan.

Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Daerah Pakan, Thomas Mandanh; Pegawai Jkom Pakan, Jenifer Empiang; serta ketua-ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS