KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak terus memperkasa kawal selia industri gas di wilayah ini susulan pindaan ke atas Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) yang telah diluluskan pada 2023.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki berkata, sejak pindaan tersebut dikuatkuasakan, kementerian telah melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi memastikan pengoperasian sektor gas berjalan dengan lebih teratur, selamat dan mematuhi undang-undang.
“Sehingga kini, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan kepada pemain industri huluan, manakala 537 lesen diberikan kepada pemain industri hiliran di bawah DGO 2016 bagi membolehkan mereka menjalankan operasi secara sah di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Khamis.
Jelasnya lanjut, langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap perundangan yang ditetapkan, malah turut menggalakkan pertumbuhan industri tenaga secara mampan.
Dalam masa sama, kementeriannya juga mengambil pendekatan tegas terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang dengan mengeluarkan 10 notis ketidakpatuhan kepada pihak yang menjalankan aktiviti pengedaran gas tanpa lesen sah.
“Ini adalah bukti ketegasan kami dalam memastikan setiap aktiviti dalam sektor gas dikawal selia secara berkesan demi menjamin keselamatan awam serta kelestarian bekalan tenaga di Sarawak,” ujar beliau.
Tambah Dato Ibrahim, antara aktiviti yang memerlukan lesen di bawah DGO 2016 termasuk pengimportan, regasifikasi, pemprosesan, pengangkutan, pembinaan saluran paip, pembekalan dan penjualan gas.
"Mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan gas tanpa lesen sah di Sarawak, boleh dikenakan denda sehingga RM20 juta bagi kesalahan pertama, dan sehingga 10 kali ganda untuk kesalahan seterusnya,"jelasnya lagi.-EDISI UKAS