KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang telah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tidak mampan untuk Firma Perunding Kejuruteraan (ECP) di Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa walaupun kos operasi seperti gaji, perisian, perkakasan dan insurans terus meningkat, namun skala yuran yang ditetapkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) tidak berubah, memberi tekanan besar kepada para profesional dalam industri ini.
Menurutnya lagi, amalan tawaran harga rendah dalam tender yang semakin berleluasa, dengan diskaun sehingga 30 hingga 50 peratus dari skala yuran rasmi juga merendahkan nilai profesionalisme dan menjejaskan kelangsungan firma.
Sehubungan itu, beliau telah mengemukakan tiga cadangan utama bagi menangani isu-isu ini.
"Pertama, saya mencadangkan agar skala yuran BEM diwajibkan dalam semua projek kerajaan, supaya tidak berlaku tawar-menawar atau diskaun tidak wajar.
"Kedua, 'Building Information Modeling' (BIM) tidak seharusnya dianggap sebagai perisian tambahan percuma, kerana ia memerlukan kemahiran dan kos tinggi, serta patut dibayar secara berasingan jika digunakan.
"Ketiga, kos 'Sarawak-Specific Professional Indemnity Insurance' (SPII) yang membebankan firma kecil hendaklah ditanggung oleh klien, kerana firma sudah menanggung insurans nasional di bawah BEM,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Menerusi cadangan-cadangan ini, Datuk Lo yakin ia mampu merancakkan semula sektor kejuruteraan, menarik minat lebih ramai anak muda menyertai bidang profesional ini, dan seterusnya memastikan pembangunan Sarawak berjalan dengan lebih berkualiti, lestari dan berlandaskan integriti.-EDISI UKAS