KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi memohon tindakan segera kerajaan untuk mengambil alih jalan-jalan balak yang telah lama tidak beroperasi di kawasannya, bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan dapat dijalankan untuk manfaat rakyat.
Menurut beliau, sejak banyak kawasan pembalakan ditamatkan operasinya, jalan dan jambatan yang dahulu diselenggara oleh syarikat balak kini terbiar dan rosak teruk.
“Hampir 80 peratus kawasan di Baleh masih menggunakan jalan balak sebagai laluan utama, tetapi kini penduduk terpaksa berdepan risiko jalan rosak, jambatan uzur dan akses yang terputus.
“Malangnya, jalan ini masih diklasifikasikan sebagai kawasan balak aktif walaupun tiada lagi operasi. Ini menghalang pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada mengambil alih penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Nicholas turut mencadangkan agar jambatan-jambatan lama yang uzur digantikan dengan jambatan jenis 'Bailey Bridge' yang lebih murah, cepat dipasang dan praktikal untuk kegunaan komuniti luar bandar.
Jelasnya lanjut, banyak penduduk di situ kini terpaksa menggunakan sungai sebagai laluan alternatif, namun ia terlalu berbahaya akibat arus deras dan jeram yang mencabar.
“Satu lagi masalah ialah jalan-jalan alternatif yang dibina melalui Program Jiwa Murni juga tidak selamat kerana terlalu curam dan tidak diselenggara,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa semua agensi kerajaan yang berkaitan agar berganding bahu dalam mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Tegasnya, rakyat tidak seharusnya terus menanggung kesukaran hanya kerana kekangan teknikal dan kerenah birokrasi yang belum diselesaikan.-EDISI UKAS