KUCHING: Pembangunan skim padi dan infrastruktur pengairan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro memerlukan perhatian sewajarnya memandangkan kawasan berkenaan mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, Skim Padi Daro yang terletak di Nangar dengan kawasan pertanian seluas 3,283 hektar itu telah mula dibangunkan sejak tahun 1975 dengan kemudahan asas seperti sistem pengairan dan jalan ladang, namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau menyifatkan kelewatan pembangunan kawasan tersebut sebagai satu kerugian besar kerana infrastruktur asas telah tersedia sejak 1970-an, tetapi pengurusan serta kesinambungan projek yang longgar menjadikan kawasan ini tidak dimajukan secara menyeluruh.
“Kawasan ini sebenarnya berpotensi menjadi model perintis untuk pertanian pintar di pesisir, termasuk penggunaan sistem ‘Internet of Things’ (IoT) untuk kawalan air dan baja, serta mekanisasi sepenuhnya agar golongan muda kembali minat ke sawah.
“Jika diberi perhatian serius, Daro boleh menyumbang secara langsung kepada sasaran Sarawak sebagai pengeksport makanan, sekali gus menjana ekonomi luar bandar berasaskan agromakanan moden,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sempena Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Selain itu, Safiee turut menyeru agar projek cadangan pembangunan infrastruktur saliran di Sungai Ilas/Sebena (Blok A3) dilaksanakan dengan segera memandangkan kawasan Sungai Ilas di Meradong yang terkenal sebagai ‘Food Basket’ Bahagian Sarikei. -EDISI UKAS