Jadikan Kalaka Sebagai Pengeluar Utama Padi Sarawak

Disiarkan pada 21 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dicadangkan untuk dibangunkan sebagai pengeluar padi utama di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, konstituensinya mempunyai tanah yang luas untuk pertanian seperti padi untuk menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan wilayah Sarawak sebagai jelapang padi baharu dan pengeluar beras utama.

“Saya cukup ‘ntengouk’ mendengar perancangan kerajaan untuk membangunkan banyak kawasan lain dalam penanaman padi.

“Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah agar membantu kami di DUN Kalaka untuk merealisasikan rancangan tersebut dari segi peruntukan, kepakaran, teknologi dan sebagainya.”

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, di sini pada Rabu.

Menurutnya, beliau telah mencadangkan Kampung Kaba sebagai tempat perintis pada permulaan.

“Dengan peruntukan RM4.8 juta daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kami serius menjadikan DUN Kalaka sebagai pengeluar padi utama di Sarawak,” jelasnya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut menyentuh mengenai permasalahan Jambatan Sungai Krian Dua yang tidak lengkap.
“Terdapat satu lagi tuntutan penduduk terhadap janji kerajaan suatu ketika dahulu, iaitu Projek Jambatan Tanjung Kalimah-Pagan atau mungkin boleh digelar Jambatan Sungai Krian Dua. Ibarat tidak lengkap perhubungan tanpa jambatan itu.

“Sehubungan itu saya ingin bertanya, bilakah projek jambatan tersebut akan ditender dan seterusnya dilaksanakan?”
Menutup ucapannya, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah memulakan projek pembinaan Jalan Kupang-Bajau, yang mana kerja di tapak sudah bermula Februari lalu. -EDISI UKAS