Perdana Menteri, Premier Sarawak Meterai Deklarasi Bersama Perkukuh Kerjasama Industri Minyak & Gas

Disiarkan pada 21 May 2025
Sumber Berita: UKAS


PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak hari ini menandatangani satu deklarasi bersama yang memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memeterai satu deklarasi bersama dan bersetuju bahawa undang-undang berkaitan pengedaran gas di Sarawak akan terus dihormati dan dikuatkuasakan secara bersama oleh semua pihak berkepentingan, termasuk PETRONAS dan PETROS.

Deklarasi bersama tersebut menggariskan prinsip-prinsip utama berkaitan pematuhan terhadap undang-undang Persekutuan dan Sarawak, peranan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak, serta pelaksanaan rangka kerja kerjasama strategik untuk projek masa depan yang melibatkan tenaga rendah karbon, hidrogen, dan penjanaan kuasa.

Deklarasi bersama itu juga menetapkan bahawa semua undang-undang persekutuan dan negeri berkaitan pengedaran gas di Sarawak akan terus wujud secara bersama dan dihormati oleh semua entiti yang terlibat dalam aktiviti berkenaan di negeri itu.

PETRONAS akan terus menjalankan fungsi, tanggungjawab dan obligasinya seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).

Dalam masa sama, dalam deklarasi bersama kedua-dua pihak akan terus berusaha untuk membentuk satu kerangka pelaksanaan bersama yang mengambil kira kepentingan negara dan aspirasi Sarawak.

Menerusi deklarasi berkenaan, PETROS sekali lagi ditekankan sebagai pengagregat gas tunggal berkuat kuasa 1 Mac 2025, mengikut Seksyen 7A Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Pelantikan ini akan menyaksikan PETROS memainkan peranan utama dalam menyelaras pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna dalam negeri.

Bagaimanapun, perjanjian dan urusan sedia ada antara PETRONAS dan pihak ketiga berkaitan penjualan LNG dari operasi huluan ke pasaran antarabangsa akan kekal tidak terjejas.

Dalam pada itu, deklarasi ini turut membuka laluan kepada perbincangan lebih mendalam antara PETRONAS dan PETROS dalam memperluaskan kerjasama perniagaan domestik Sarawak.

Antara bidang kerjasama termasuklah pelaksanaan projek gas berkapasiti 1.2 bilion kaki padu sehari (Bscf/d) yang menyokong Pelan Induk Gas Sarawak, serta penglibatan bersama dalam projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan kuasa.

Menurut deklarasi bersama itu lagi, sebarang kerjasama yang dirancang hendaklah tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal dan komersial.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; serta tetamu kehormat yang lain. –EDISI UKAS