Sarawak Perkasa Penglibatan Komuniti Dalam Projek Karbon Hutan

Posted on 21 May 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam menangani perubahan iklim global dengan melibatkan komuniti tempatan, khususnya pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan aktiviti karbon hutan yang mampan.

Menurut Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohamad, penglibatan komuniti amat penting dalam usaha memperkukuh pengurusan hutan secara lestari, memandangkan tanah NCR bukan sahaja aset warisan, malah menjadi sumber kehidupan dan lambang identiti masyarakat tempatan.

“Komuniti perlu menyedari bahawa tanah NCR yang mereka miliki memiliki potensi besar dalam menyumbang kepada usaha global mengurangkan pelepasan karbon.

“Justeru, penglibatan aktif mereka dalam projek karbon hutan akan memberikan manfaat ekonomi jangka panjang selain memelihara alam sekitar,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakil beliau, Pegawai Hutan Wilayah Bintulu Hwang Chiong Hee semasa Seminar Pengurusan Karbon Hutan di Promenade Hotel, Bintulu di sini pada Selasa.

Jelas beliau, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan pindaan kepada Forests Ordinance, 2015 bagi mengiktiraf karbon sebagai salah satu hasil hutan.

Di samping itu, Forests (Forest Carbon Activity) Rules, 2022 turut diperkenalkan sebagai asas perundangan dalam melesen dan mengawal selia aktiviti karbon hutan di negeri ini, katanya.

Langkah ini katanya bukan sahaja membolehkan pelaksanaan aktiviti karbon secara sah dan berintegriti, malah turut memastikan hak pemilik tanah NCR dan pemaju projek dipelihara dengan adil dan telus.

Seminar yang berlangsung turut menekankan kepentingan pendekatan berasaskan komuniti dalam pengurusan karbon hutan serta manfaat ekonomi dan alam sekitar yang boleh diraih melalui penglibatan aktif masyarakat tempatan.

Tambah Datu Hamden, usaha ini turut bertujuan membina jaringan kerjasama kukuh antara kerajaan, agensi berkaitan dan komuniti dalam memastikan kelestarian sumber hutan demi generasi akan datang. -EDISI UKAS