SFC Perkasa Kesedaran Alam Sekitar Menerusi Bengkel Renjer Kehormat di Belawai

Disiarkan pada 21 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BELAWAI: Seramai 48 peserta daripada enam buah kampung sekitar Belawai telah menyertai ‘Honorary Wildlife Ranger Workshop’ dan Program Kesedaran anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, pada Selasa.

Program yang melibatkan penduduk dari Kampung Rajang, Kerubong, Selalang, Semalau, Jerijeh dan Belawai ini bertujuan memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan landskap paya bakau serta biodiversiti di kawasan Taman Negara Paya Bakau Rajang.

Taman Negara Paya Bakau Rajang meliputi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kawasan paya bakau yang dilindungi di Sarawak.

Penglibatan aktif masyarakat setempat dalam program sebegini amat penting dalam menjamin kelestarian ekosistem unik tersebut.

Peserta bengkel didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan flora dan fauna tempatan, termasuk spesies terlindung serta potensi ekopelancongan seperti habitat ‘kelip-kelip’ yang semakin menarik perhatian pelawat dan pengkaji.

SFC turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, sektor swasta dan komuniti tempatan dalam usaha memelihara warisan alam untuk generasi masa depan.-EDISI UKAS