KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Sutera Sanctuary Lodges (SSL) hari ini memeterai Perjanjian Konsesi bagi pengurusan dan penambahbaikan perkhidmatan pelancongan di dua kawasan perlindungan ikonik Sarawak — Taman Negara Niah yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Negara Tanjung Datu.
Majlis menandatangani perjanjian konsesi disempurnakan oleh Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran serta Presiden SSL, Dato Zarazilah Mohd Ali dan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Ketua-ketua jabatan.
Perjanjian konsesi selama 20 tahun dengan pilihan lanjutan tambahan 20 tahun, memberikan hak operasi dan pembangunan kepada SSL bagi perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman di kedua-dua taman negara tersebut.
Inisiatif ini selari dengan visi Sarawak untuk memperkasa sektor eko-pelancongan, mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti dan memelihara warisan semula jadi serta budaya negeri.
SSL yang terkenal dalam pengurusan fasiliti pelancongan berasaskan alam semula jadi di Sabah termasuk Taman Kinabalu, Rumah Rehat Laban Rata, Pulau Manukan dan Poring Hot Springs, kini membawa kepakaran dan model pelancongan-pemuliharaan pemenang anugerah ke Sarawak.
Untuk Taman Negara Niah, SSL dijangka memulakan kerja-kerja pengubahsuaian menjelang akhir 2025 dengan rancangan membina kemudahan seperti penginapan, restoran, kolam renang dan bar dengan pendekatan yang mengekalkan integriti sejarah dan alam sekitar tapak tersebut.
Taman Negara Niah yang menerima pengiktirafan UNESCO pada tahun 2024, terkenal dengan warisan arkeologi berusia 40,000 tahun serta sistem gua batu kapur yang menakjubkan.
Sementara itu, di Taman Negara Tanjung Datu, yang masyhur dengan pantai dara dan kepelbagaian biodiversiti, pembangunan dalam tempoh tiga tahun akan datang akan merangkumi pembinaan eco-retreat butik yang menampilkan vila persendirian, spa, restoran dan kemudahan premium lain.
Reka bentuk pembangunan akan menekankan seni bina lestari, penyejukan pasif, elemen Biofilik dan pembinaan berimpak rendah agar serasi dengan alam semula jadi sekitarnya.
Kerjasama awam-swasta ini mencerminkan strategi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan sambil merangsang ekonomi tempatan melalui pelancongan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. -EDISI UKAS