DUN Sarawak Lulus RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025

Posted on 21 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025, sekali gus menandakan satu lagi langkah signifikan dalam usaha memperkasakan pentadbiran kerajaan tempatan di Sarawak.

Kelulusan ini diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, selepas menerima sokongan majoriti ahli dewan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, pindaan tersebut adalah perlu bagi memastikan undang-undang yang diguna pakai sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

“Selepas lima tahun, sudah tiba masanya untuk memperbaharui beberapa peruntukan dalam ordinan ini bagi menepati perubahan dan jangkaan masyarakat masa kini,” jelasnya ketika membentangkan RUU berkenaan buat bacaan kali kedua dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19.

Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim, kesemua 27 majlis tempatan di bawah kementeriannya termasuk tiga majlis baharu iaitu Majlis Daerah Gedong, Majlis Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Siburan mengamalkan sistem perwakilan Ahli Majlis dalam pentadbiran mereka.

“Dengan pertambahan penduduk, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun, keperluan rakyat menjadi semakin pelbagai dan kompleks.

"Maka, sudah tiba masanya perwakilan di peringkat komuniti diperluaskan bagi memastikan keperluan mereka dilayan dengan lebih berkesan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Profesor Dr. Sim memberitahu, Pindaan Seksyen 10, 10A dan 11 bertujuan untuk menambah bilangan Ahli Majlis daripada 30 kepada 33 orang, bagi lima buah majlis utama iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

Manakala, Pindaan Seksyen 172A pula katanya, memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk meminda semua jadual yang terkandung dalam Ordinan tersebut.

"Setiap Ahli Majlis diberikan tugasan berbeza, dan penambahan ini akan membantu mempertingkatkan pemantauan ke atas projek serta perkhidmatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan,"jelasnya lagi.

RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 diyakini dapat merapatkan jurang antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, sekali gus menjadikan pembangunan di Sarawak lebih inklusif, lestari dan berpaksikan rakyat.-EDISI UKAS