RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 Pacu Transformasi Pentadbiran Tanah Sarawak

Posted on 20 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pindaan terhadap Kanun Tanah menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2025 disifatkan sebagai langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam memastikan sistem pentadbiran tanah yang lebih cekap, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pindaan ini bukan sekadar penyesuaian perundangan, tetapi merupakan transformasi menyeluruh yang membawa manfaat langsung kepada rakyat di seluruh wilayah ini dari kawasan bandar hinggalah ke pedalaman.

“Langkah ini mempercepatkan perkhidmatan, memudahkan urusan rakyat dan menghapuskan kerenah birokrasi yang selama ini membebankan.

"Kini dengan sistem digital seperti eSPA, kita tidak lagi perlu menunggu berbulan-bulan untuk proses permohonan tanah.

"Ini adalah perubahan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pendekatan kerajaan dalam memperkukuh aspek penguatkuasaan, khususnya dalam menangani isu pencerobohan dan pengambilan hasil bumi secara haram yang semakin membimbangkan.

“Dengan hukuman yang lebih berat terhadap penceroboh, kita menghantar mesej jelas bahawa tanah Sarawak bukan untuk dieksploitasi sewenang-wenangnya.

"Kita melindungi bukan sahaja hak milik, tetapi juga sumber wilayah ini untuk generasi akan datang,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Bahagian Penguatkuasaan di bawah Jabatan Tanah dan Survei diperkasakan dengan tenaga kerja serta sumber mencukupi bagi melaksanakan mandat baharu ini secara berkesan.

Dalam aspek pembangunan, Mohamad Duri menyambut baik pemerkasaan definisi ‘pelan pembangunan’ serta penyelarasan tempoh kelulusan yang kini lebih jelas dan teratur.

Beliau berkata, pendekatan tersebut amat bermakna khususnya kepada pemilik tanah berskala kecil dan usahawan tempatan yang sebelum ini berdepan kekangan dalam merancang pembangunan tanah mereka.

Selain itu, beliau turut menyokong inisiatif kerajaan untuk membangunkan sistem pemetaan utiliti 3D serta pelaksanaan keperluan pengemukaan data utiliti siap bina sebagai asas kepada perancangan pembangunan pintar di Sarawak.

Mengakhiri perbahasan, Mohamad Duri menegaskan bahawa RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 merupakan bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memodenkan pentadbiran tanah sambil menjaga hak dan masa depan rakyat Bumi Kenyalang.-EDISI UKAS