KUCHING: Pemberian lesen bagi mengangkut bahan batuan ke luar negeri adalah penting untuk pengurusan sumber, jaminan hasil negeri, pematuhan undang-undang, dan perlindungan alam sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, ia menjadikan pengangkutan tanpa lesen sebagai satu kesalahan boleh dihukum bagi memperkukuh mekanisme pengawalseliaan, menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi kepentingan awam.
“Denda tidak kurang daripada RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menjaga sumber seperti bahan batuan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan), 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Jelasnya, sumber tanah Sarawak amat penting untuk masa depan bersama bagi menyokong sektor pertanian, memelihara keseimbangan alam sekitar dan melindungi warisan serta sumber rezeki banyak komuniti.
Tegas beliau, kelemahan penguatkuasaan dan hukuman yang terlalu ringan telah membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya, menyebabkan kerosakan alam sekitar, pemindahan komuniti rentan, serta berlakunya rasuah secara meluas.
Rolland memberitahu, pengenalan Pelan Pembangunan dan Pelan Struktur Bahagian adalah penting untuk menguruskan tanah dengan lebih berkesan, khususnya tanah adat atau tanah hak milik Bumiputera yang mempunyai nilai budaya tinggi dan sistem pemilikan yang kompleks.
Jelasnya lagi, ini bagi mengurangkan konflik dan perlindungan terhadap hak tanah adat di samping terus mengintegrasi undang-undang dan dasar. -EDISI UKAS