KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan), 2025 membawa satu dimensi baharu selaras dengan aspirasi untuk menambahbaik rangka tadbir urus tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei, yang lebih adil dan inklusif terutamanya dalam tanah pengurusan tanah wakaf dan endowmen.
Ketua Setiusaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, peruntukan penting dalam pindaan ini adalah pengenalan kepada struktur undang-undang formal bagi urusan wakaf dan endowmen yang wajar diberikan perhatian khusus.
“Melalui pindaan ini yang akan menstrukturkan pendaftaran tanah wakaf dan endowmen, kita dapat mengurangkan pertikaian, melindungi tujuan asal tanah tersebut, dan membolehkan pihak berkuasa awam merancang pembangunan di sekitar dengan lebih berkesan.
“Ini kembali kepada memelihara niat asal oleh pemberi wakaf. Sama ada tanah dikhususkan untuk pembinaan masjid, surau, gereja, kuil, sekolah atau klinik kesihatan - sumbangan pemilik tanah tersebut ada kuasa undang-undang yang lebih jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan), 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut menyatakan pindaan ini bukan hanya terpakai kepada wakaf Islam, tetapi turut meliputi agama lain yang mempunyai konsep serupa sekali gus menolak tanggapan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen yang menganggap ia membawa unsur Islam.
Jelasnya, perkara yang dibentangkan dalam pindaan ini berkaitan secara khusus dengan Kanun Tanah yang terletak di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dengan pindaan ini termasuk berkaitan wakaf, adalah untuk memudahkan pelaksanaan amalan di Jabatan Tanah dan Ukur yang perlu ditangani. -EDISI UKAS