KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan), 2025 tepat pada masanya dan amat diperlukan bagi menangani kekaburan undang-undang serta menutup 'kelompongan' yang wujud dalam Kanun Tanah Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, pengenalan Seksyen 32AA dan 171A mencerminkan keperluan semasa Sarawak dan memastikan undang-undang tanah Sarawak kekal adil, relevan dan berfungsi di samping memperkenalkan satu langkah perlindungan penting dengan melarang pengangkutan bahan batuan ke luar Sarawak tanpa lesen yang sah.
“Bahan batuan kita seperti batu, pasir, batu kapur dan mineral lain merupakan sumber asli yang penting dan memainkan peranan besar dalam ekonomi, alam sekitar, dan identiti budaya kita.
"Namun, sekiranya tanpa pengawalseliaan yang betul, aktiviti pengambilan dan pengangkutan tanpa lesen boleh mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang serius seperti hakisan tanah, pemendapan sungai, dan kemusnahan habitat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan), 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tegasnya, peruntukan ini selaras dengan hak perlembagaan Sarawak untuk mengurus dan melindungi sumber aslinya menerusi sistem pelesenan yang kukuh.
“Ini bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar, buruh dan keselamatan, malah menjamin hasil yang sepatutnya diperoleh oleh negeri melalui royalti, cukai dan fi,” katanya lagi.
Susulan itu, beliau menyangkal pandangan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen yang mengkehendakkan hukuman diringankan bagi pihak pengangkut yang melakukan kesalahan, atas dasar ketiadaan kawalan seumpama ini boleh mengundang kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap ekosistem Sarawak, penyusutan sumber dan kehilangan hasil wilayah secara keseluruhannya.
Berhubung dengan Seksyen 171A, Wilfred menegaskan peruntukan baharu ini dapat menangani status undang-undang dan perlindungan terhadap tanah wakaf atau ‘endowment lands’, yang sejak sekian lama menyokong institusi keagamaan dan kebajikan seperti masjid, gereja, kuil dan sekolah mubaligh.
Menurut beliau, tanpa kerangka undang-undang yang khusus, tanah wakaf kekal terdedah kepada pencerobohan, salah urus, atau pengambilan secara tidak sah.
“Seksyen 171A akan memberikan kejelasan undang-undang, melindungi hak milik, mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian, dan mengenakan penalti bagi pelanggaran sekaligus mengurangkan konflik dan memastikan tanah tersebut digunakan untuk tujuan asalnya,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS