Sarawak Wajibkan Penggunaan 'Building Information Modelling' Menjelang 2030

Disiarkan pada 20 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak mengorak langkah lebih agresif dalam memperkukuh ekosistem penyampaian projek secara digital apabila mewajibkan penggunaan 'Building Information Modelling' (BIM) sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital seperti BIM kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan wajib dalam semua projek pembinaan dan infrastruktur berskala besar.

“Kerajaan Sarawak telah menetapkan bahawa mulai sekarang, projek bangunan yang melebihi RM10 juta dan projek infrastruktur melebihi RM100 juta mesti melaksanakan BIM sebagai sebahagian daripada dasar integrasi 100 peratus menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan JKR Sarawak’s Strategic Engagement with Consultants 2025 mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Beliau menambah, inisiatif ini selari dengan dasar National Construction Policy (NCP) 2030 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, sebagai sebahagian daripada agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID19 2030.

Datuk Ir Aidel turut menekankan bahawa teknologi seperti BIM bukan sekadar alat reka bentuk, malah berperanan penting dalam menjamin ketelusan, kecekapan, tadbir urus baik, kawalan kos, kualiti dan pematuhan terhadap piawaian keselamatan serta kelestarian alam sekitar.

“Masa depan yang kita bina bukan sekadar fizikal, tetapi mampan, inklusif dan berdaya tahan. BIM membolehkan maklumat mengalir secara lancar sepanjang kitaran hayat projek, dari reka bentuk hingga pengurusan fasiliti.

“Ini sangat penting dalam memastikan penyampaian projek yang lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

Menyentuh aspek kelestarian, beliau menggesa para perunding industri binaan untuk menyesuaikan amalan mereka dengan prinsip kejuruteraan hijau, kecekalan iklim dan kecekapan sumber, selari dengan cabaran perubahan iklim global seperti banjir yang melanda Sarawak dan gempa bumi serantau baru-baru ini.

“Sebagai perunding, anda bukan sekadar perancang tetapi rakan strategik dalam perjalanan transformasi Sarawak. Warisan yang kita tinggalkan bukan sahaja infrastruktur fizikal, tetapi juga masa depan yang lestari untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong pertumbuhan industri perunding tempatan, termasuk bersedia menyemak semula polisi berkaitan Skala Bayaran dan keperluan Professional Indemnity Insurance (PII), asalkan ia disusuli dengan budaya kecemerlangan profesional dan inovasi.

Majlis penutupan ini mewakili komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan sektor pembinaan di Sarawak lebih progresif, cekap, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan melalui kolaborasi erat antara kerajaan dan pihak perunding.-EDISI UKAS