67 Peratus Projek RTP Siap Dalam Tempoh RMK-12

Posted on 15 May 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Sebanyak  5,231 projek atau 67 peratus projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada 7,808 projek yang dijalankan telah siap sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, di bawah tempoh RMK-12, peruntukan RM1.64 bilion telah diluluskan daripada 7,808 projek yang dijalankan.

“Sehingga 31 Mac 2024, sebanyak 5,231 projek atau 67 peratus telah siap manakala baki 2,577 projek atau 33 peratus masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Perbelanjaan terkumpul dari tahun 2021 hingga 31 Mac 2024 ialah RM1.227 bilion atau 75 peratus berbanding jumlah peruntukan yang diluluskan,” katanya semasa penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu (II) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Bagi Projek Rakyat, Menteri Kedua Kewangan Dan Ekonomi Baharu itu berkata, Bajet Sarawak 2024 menunjukkan komitmen yang kukuh untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar melalui peruntukan besar RM550 juta untuk Projek Rakyat.

“Sehingga April 2024, sejumlah RM74 juta telah dibelanjakan. Projek-projek ini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan, menandakan kemajuan ketara ke arah mencapai matlamat pembangunan luar bandar,” katanya.-EDISI UKAS