KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merancang untuk membina sebuah lagi Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Jepak, Bintulu.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, sekolah tersebut akan dibina di kawasan Jepak New Township sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa di luar kawasan bandar utama.
"Bagi pelajar Yayasan Sarawak International Secondary School di Petra Jaya, mereka telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam ujian Cambridge Checkpoint bagi Year 9, dengan kadar kelulusan 100% dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan rangka kerja pengurusan pendidikan yang seragam dan komprehensif.
“Silibus yang akan digunakan adalah International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), yang diiktiraf secara global dan selari dengan perkembangan pedagogi terkini," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Selain itu katanya, kementerian juga akan menjalankan pemantauan berkala serta menyediakan mekanisme maklum balas berasaskan piawaian Cambridge University bagi menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.
Usaha ini menurut beliau dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu pendidikan dan menyediakan peluang kepada pelajar luar bandar untuk menikmati pendidikan bertaraf antarabangsa.-EDISI UKAS