KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk menaik taraf Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu sebagai hab pendidikan tenaga bertaraf serantau.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki berkata IKM Bintulu akan memberi tumpuan kepada bidang tenaga baharu dan tenaga berasaskan fosil seperti minyak dan gas.
Katanya, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan IKM dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri tenaga masa kini dan masa hadapan.
“Kita dalam kerangka untuk mengangkat IKM Bintulu ini sebagai pusat pendidikan serantau dalam bidang tenaga termasuk oil & gas, serta tenaga baharu seperti hidrogen dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.
Menurut Datuk Dr. Asyraf, pelan induk ke arah menjadikan IKM Bintulu sebagai hab tenaga sedang dimuktamadkan, dengan kira-kira 60 peratus daripadanya telah siap.
“Insyallah, kita akan buat peluncuran sebelum akhir tahun ini. Selepas pelan induk itu selesai sepenuhnya, kita beri tempoh tiga bulan untuk ia diperhalusi,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa matlamat MARA bukan sekadar untuk melahirkan graduan mahir tempatan, tetapi juga melahirkan pemain industri yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS