KUCHING: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 kini mencatat kemajuan sebanyak 29.89 peratus setakat April 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, pelaksanaan operasi KUTS Fasa 1 akan dilakukan secara berperingkat, dengan bahagian pertama di bawah Laluan Biru melibatkan laluan dari Rembus ke Riveria dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat tahun 2026.
“Tarikh ini adalah lebih lewat daripada jangkaan asal berikutan beberapa kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan,” katanya semasa sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Tambahnya, keseluruhan operasi penuh projek KUTS Fasa 1 dijangka dapat dimulakan menjelang tahun 2028.
Fasa pertama projek ini melibatkan sistem Transit Pantas Autonomi (ART) yang merangkumi laluan sepanjang kira-kira 69.9 kilometer, dengan tiga laluan utama dan sebanyak 31 stesen dirancang untuk dibina.-EDISI UKAS