136 Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di Pusa

Posted on 20 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sebanyak 136 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) jenis rumah berkembar akan dibina di bawah projek pembangunan semula Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Pusa.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee memaklumkan bahawa perancangan semula RPR Pusa telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) pada 20 Februari 2024.

Manakala, pelan sekatan tanah telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei Betong pada 13 Mac 2025.

“Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah diperuntukkan siling sebanyak RM1.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kerja-kerja penyediaan pelan semakan dan pelan sekatan.

“HDC turut mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan pembinaan 40 unit awal RSP,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, semasa sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan selepas pengambilan tapak,” jelas beliau.

Pembangunan semula RPR Pusa dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk luar bandar serta meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.-EDISI UKAS