MIRI: Pencapaian Miri sebagai sebuah bandar raya tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama padu antara kerajaan, komuniti, dan sektor swasta.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, sejak dianugerahkan status bandar pada 20 Mei 2005, Miri telah melalui perjalanan yang sangat mengagumkan dari sebuah bandar minyak yang sederhana kepada sebuah bandar yang pesat membangun.
Tambahnya, penduduk Miri telah menyaksikan kemajuan yang ketara dalam infrastruktur, kemudahan awam, inisiatif alam sekitar, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sektor pelancongan
“Miri hari ini tidak lagi seperti 20 tahun yang lalu, ia kini lebih berani, lebih hijau, lebih pintar, dan lebih dinamik namun semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa dedikasi, semangat dan usaha gigih daripada anda semua.
"Ahli-ahli Majlis, penjawat awam, pemimpin masyarakat, rakan-rakan sektor swasta, dan khususnya rakyat Miri, terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi, komitmen yang padu, dan keyakinan anda terhadap bandar kita," ucapnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perbarisan dan Upacara Menaikkan Bendera sempena Hari Ulang Tahun Ke-20 Bandaraya Miri di Dewan Bandaraya Miri, Aras 1 pada Selasa.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 20 tahun secara berterusan, sebagai simbol penghargaan atas kesetiaan dan komitmen mereka dalam perkhidmatan awam.
Acara diteruskan dengan pelbagai pengisian seperti perarakan masuk kontinjen dan pembawa bendera, nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku serta “Miri Kebanggaan Kami”, bacaan doa, persembahan khas oleh kakitangan MBM, serta persembahan koir lagu Pihak Berkuasa Tempatan dan lagu khas.
Sambutan ulang tahun ini menjadi detik bersejarah dan simbol harapan agar Miri terus berkembang sebagai Bandaraya Peranginan Antarabangsa yang Hijau, Pintar dan Paling Selesa Diduduki.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad; Pemangku Setiausaha MBM, Abdul Rahman Taupek; Datuk Bandar Baguio City, Filipina, The Honourable Benjamin B. Magalong; Datuk Bandar Itogon, Filipina, The Honourable Bernard Waclin; dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri mewakili Ketua Polis Daerah, Supt. Nur Ashyikin Abdullah. -EDISI UKAS