Karnival Gawai Dayak 2025 Betong: Warisan Budaya, Semarak Perpaduan

Disiarkan pada 19 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Karnival Gawai Dayak 2025 peringkat Bahagian Betong kembali dengan penuh warna dan semangat, mengetengahkan kepelbagaian budaya serta jati diri masyarakat Dayak dalam satu perayaan besar yang bermula pada 9 Mei sehingga 28 Jun ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Peringkat Bahagian Betong 2025, Rollin Jenta Gem, beliau menyifatkan karnival tahun ini sebagai manifestasi cetusan idea Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta disokong oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu.

Jurutera Bahagian, Jabatan Pengairan dan Saliran Betong itu berkata, antara acara utama sepanjang karnival ini ialah Majlis Miring Mantar Gawai yang bakal berlangsung pada 23 Mei, diikuti dengan Makai Mantar Gawai Dayak 2025 pada 24 Mei, yang akan dirasmikan oleh Datuk Amar Douglas Uggah.

“Majlis tersebut turut menyaksikan Pertandingan Kumang Gawai Betong yang menampilkan lapan finalis selepas saringan awal yang diadakan pada 10 Mei lepas.

“Bagi penggemar seni fotografi, Pertandingan Fotografi Gawai turut dianjurkan sejak 9 Mei dan akan berakhir pada 13 Jun 2025.

“Pemenang pertandingan akan diumumkan semasa Majlis Penutupan Karnival Gawai yang akan berlangsung di Saratok pada penghujung bulan Jun,” katanya semasa temubual bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Isnin.

Katanya, kemuncak karnival ini adalah Perarakan Gawai yang dijadualkan pada 7 Jun 2025, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000 menanti pemenang utama.

Perarakan ini juga akan dirasmikan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan dijangka menjadi tumpuan ramai.

“Tradisi "Ngabang" turut diangkat sebagai pengisian penting karnival dengan penganjurannya di Rumah Veriland Godon anak Gagat, Engkeranji, Betong.

“Di lokasi sama, Konsert Gawai Keaamatan akan dianjurkan untuk memberi hiburan serta merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti pelbagai kaum,” tambahnya.

Di akhir temu bual, Rollin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan khususnya Datuk Amar Douglas Uggah, Dato Gerald Rentap, Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr. Richard Rapu; ADUN Krian, Friday Belik dan ADUN Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam atas sokongan dana dan moral terhadap penganjuran karnival ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan di Bahagian Betong atas komitmen tinggi dalam menjayakan program-program sepanjang karnival ini berlangsung.

Orang ramai dijemput hadir dan bersama-sama menyemarakkan Karnival Gawai Dayak 2025 Betong – satu perayaan yang memartabatkan budaya, memperkukuh perpaduan dan memacu pembangunan komuniti. - EDISI UKAS