Rundingan Diteruskan Untuk Formula Peruntukan Khas Kepada Sarawak

Posted on 15 May 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Rundingan masih diteruskan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak bagi menentukan formula buat pemberian geran khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
 
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah peruntukan tahunan kepada Sarawak daripada RM16 juta ke RM300 juta sebagai langkah interim sementara menunggu satu formula dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
 
“Saya ingin memaklumkan bahawa rundingan mengenai formula peruntukan khas ini masih diteruskan.
 
“Sebagai bayaran interim, kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk meningkatkan geran khas tahunan kepada Sarawak ini daripada RM16 juta ke RM300 juta sementara menunggu formula dimuktamadkan yang akan dipersetujui antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
 
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II menambah, kerajaan negeri komited untuk terus bekerja rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak dana pembangunan bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak.
 
Ini termasuk untuk inisiatif-inisiatif Tenaga Hijau Sarawak, Strategi Pasca Pembangunan Covid-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
 
“Kita juga akan memanfaatkan platform Perjanjian Malaysia 1963 di mana keperluan pembiayaan untuk Sarawak turut dibangkit dan dibincangkan, khususnya untuk pembangunan infrastruktur asas, utilii, telekomunikasi, keselamatan sempadan, Kesihatan dan pendidikan,” tambahnya. -EDISI UKAS