Tiada Keperluan Tukar Logo Kad Debit Kenyalang AFFIN Bank

Posted on 19 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Isu berkenaan reka bentuk kad debit AFFIN Bank yang menampilkan imej burung enggang tidak sepatutnya diperbesarkan kerana niat asalnya adalah baik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, AFFIN Bank telah mengambil inisiatif yang baik dengan memperkenalkan kad debit istimewa untuk rakyat Sarawak yang menampilkan burung enggang sebagai simbol pada kad tersebut.

"Pada pandangan saya secara peribadi, perkara ini sebenarnya satu isu kecil yang telah diperbesarkan secara tidak wajar.

"Saya percaya AFFIN Bank mempunyai niat yang baik untuk menghasilkan kad tersebut dengan meletakkan imej seekor burung enggang sama ada paruh itu menghadap ke atas atau ke bawah, itu bukanlah satu isu," katanya ditemui selepas perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong yang membangkitkan isu mengenai kesalahan spesis burung enggang di kad debit Kenyalang AFFIN Bank.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu menambah, meskipun terdapat pelbagai spesies burung enggang, identiti burung itu tetap memberi gambaran bahawa ia mewakili Sarawak, sama seperti maskot Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak yang menggunakan imej burung kenyalang.

Justeru katanya, usaha AFFIN Bank ini wajar dipuji kerana mengeluarkan kad debit istimewa khusus untuk rakyat Sarawak.

"Secara umum, niat mereka adalah baik dan kita sepatutnya memuji dan mengucapkan terima kasih kepada AFFIN kerana melakukan sesuatu seperti itu.

"Saya difahamkan bahawa kad itu hanya dikeluarkan di Sarawak, dan khusus untuk rakyat Sarawak," ujarnya. -EDISI UKAS