Kerjasama PETROS & PETRONAS Perlu Dimuktamadkan, Demi Kebaikan Bersama

Posted on 19 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) perlu dimuktamadkan demi kebaikan bersama antara negeri dan negara.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan langkah Kerajaan Sarawak untuk melantik PETROS sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak, yang dibuat di bawah Distribution of Gas Ordinance (DGO), 2016, di mana kerajaan negeri mempunyai kuasa eksekutif dan legislatif untuk menggubal undang-undang mengenai elektrik dan pengedaran gas.

Menurut beliau, ia adalah selaras dengan rekomendasi daripada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang telah dilaksanakan melalui Borneo States (Legislative Power) Order, 1963 yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan.

“Hak perlembagaan ini haruslah dihormati untuk membolehkan PETROS melaksanakan peranannya sebagai gas aggregator bagi memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada ekonomi negara dan Sarawak.

“Saya berharap kerjasama PETROS dan PETRONAS dapat dimuktamadkan dengan segera kerana ia pasti akan membawa banyak kebaikan dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama negara dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Dalam usaha tuntutan Sarawak terhadap Kerajaan Persekutuan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersyukur kerana hubungan tersebut amat akrab di mana banyak perkara yang telah diselesaikan khususnya yang melibatkan hak dan kepentingan negeri ini.

Beliau yakin hubungan akrab ini juga akan memastikan Sarawak mendapat semua tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC, Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.

“Saya berharap agar semua tuntutan Sarawak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan segera agar ianya memberi manfaat kepada Sarawak dan negara.

“Saya juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan keselamatan Sarawak,” katanya.

Jelas beliau, keikhlasan dan komitmen Dato Seri Anwar melalui prinsip Malaysia MADANI sudah pasti akan memberi impak yang positif kepada usaha menyemai semangat ‘Segulai Sejalai’ ke arah pembangunan yang inklusif kepada Sarawak.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS